Aku cuba menulis sejujur mungkin dalam bentuk seringkas mungkin.
1. Filem ini letak ceritanya mudah difahami, berkisar mitos dan lagenda asal usul Kerajaan Kedah serta pengasas - seorang pemuda kacak yang bernama Merong Mahawangsa, yang mempunyai bapa saudara bernama Merong Mahasuasa (babak itu buat aku ketawa berdekah). Merong berjuang untuk menyelamatkan Puteri dari China yang diculik oleh pihak Garuda (jalan cerita klise untuk hampir semua filem dalam dunia ini) Bak kata pepatah Latin, Amor Vincit Omnia. Tuan pengarah bagaimanapun menggantikan garuda sebenar dengan puak Garuda yang jahat. Mungkin itu terjemahan peribadi Yusri ataupun beliau mahu menjimatkan teknik CGI.
2. Watak si Merong memang kena dengan Stephen Rahman-Hughes. Aku tak dapat bayangkan pelakon lelaki lain yang mampu memainkan watak ini dengan baik. Jika ada terdengar suara-suara sumbang mengatakan lakonan Stephen kaku serta pekat dengan slang Inggeris, sila abaikan kerana pada aku bila berbahasa Inggeris, dia berbunyi Inggeris, bila berbahasa Melayu, dia berbunyi Melayu.
3. Sayang babak serangan Jentayu ke atas pihak Garuda menggunakan taktik cermin Archimedes seakan dipermudahkan oleh tuan pengarah. Babak tersebut patut diperkemaskan lagi serta diolah dengan lebih menarik. Selain itu, babak Merong mencium baju sutera kepunyaan Puteri dari China patut dipadam kerana pada aku Merong nampak macam pervert. Eww.
4. Permulaan filem ini sangat laju, tak sempat aku nak menikmati permulaan filem atau mungkin kerana aku masih tercari-cari tempat duduk dalam panggung wayang? Pengakhiran filem juga sangat terburu-buru, patut diselitkan aksi Merong berlawan dengan Taji dan babak kepulangan pasukan Merong menghadap Embok. Lagu nyanyian Anuar Zain - Sedetik Lebih juga lewat keluar. Mungkin ada penonton yang tidak tahu kaitan lagu tersebut dengan filem ini.
5. Skrip dalam filem ini indah tersusun. Tahniah kepada Amir Hanafi dan Yusri. Ada kawan mengusik bahawa Amir Hafizi berambut putih macam Kesum serta berkedut seribu. but I don't care. Aku memang jatuh cinta dengan skrip filem ini.
6. Lakonan Ummi Nazeera mantap dan beliau nampak anggun dengan wajah Melayu asli. Semua orang maklum yang lakonan Khir Rahman tidak perlu dipertikaikan lagi. Pelakon-pelakon veteran lain memang bijak memainkan peranan. Aku kagum dengan kesungguhan Stephen serta Puteri China yang bersungguh menuturkan dialog dalam bahasa Melayu dengan lancar.
7. Ada yang berkata teknik CGI yang disusup dalam sesetengah babak nampak palsu, pada aku tidak. Mungkin nampak diperlajukan terutama ketika aksi berlawan, tapi harus diingat yang pengarah bermain dengan masa. Babak berlawan dibayangi dengan filem 300, tapi dah nama pun CGI. Orang-orang yang bercakap tu tahu ke tidak menggunakan Computer-generated Imaginary?
8. Aku rimas tengok rambut putih serabut Kesum, sungguh. Mungkin patut trimmed sikit.
9. Pantai Terengganu sangat cantik. Memang lokasi yang sesuai untuk penggambaran filem ini. Aku ternanti-nanti kalau ternampak EeSyaheera terkinja-kinja di belakang khemah ataupun muncul sebagai watak tambahan. namun hampa.
10. Skor musik kena letaknya. Adegan suspen diiringi musik suspen dan sebaliknya. Sayang, lagu Sedetik Lebih tidak dimasukkan dalam filem. Oh, suara Anuar Zain ibarat sepinggan nasi kerabu yang sedap dengan budu pada waktu lapar.
11. Keseluruhan, aku rasa Hikayat Merong Mahawangsa layak diberi 4 bintang. Bukan kerana ia filem epik tempatan yang julung kali dihasilkan begini,, tetapi kerana aku suka dengan letak cerita filem serta lakonan mereka-mereka semua. Kalau nak dibandingkan dengan filem dari Hollywood, seperti Prince of Persia, 300 atau Matrix, mana mungkin sejemput boleh menyanggah segantang (dari segi bajet) tetapi dari segi teknik, aku rasa memang boleh dibandingkan. Go KRU!
Tak rugi mendudu-dudu dengan rakan sekelas meredah zulmat malam untuk menonton.
1 annotations:
perghh..mantap r bahasa ko..ulasan terbaik dari awal sampai hujung cerita..kupasan terperinci dari dalam dan luar cerita..macam pengkritik filem dari fakulti seni uitm..tabik2!!
Post a Comment